KUALA LUMPUR, 26 Okt – Vietnam menyatakan hasrat supaya hubungan strategik dengan Malaysia terus diperkukuh terutama menjelang ulang tahun ke-10 perkongsian strategik dua negara pada 2025, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata perkara itu antara inti pati hasil kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chinh yang berlangsung di Hanoi, hari ini.

Johari berkata pertemuan itu antara lain turut membincangkan kemajuan kerjasama dua hala Malaysia dan Vietnam serta langkah-langkah untuk memperkukuh pada masa hadapan.

“Kami turut membincangkan persiapan bagi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang bakal dihoskan Malaysia tahun hadapan, dengan fokus kepada usaha mempertingkatkan kerjasama dalam bidang  perdagangan, pelaburan, tenaga bersih, dan pertukaran budaya demi memperkukuh ikatan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

“Dalam pertemuan ini, kami sama-sama menzahirkan penghargaan atas hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara kita,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut yakin kunjungan itu mampu memperkukuh asas hubungan dua hala dan menjadi pemangkin kepada usaha diplomasi Parlimen lebih aktif serta integrasi serantau yang lebih kukuh, selaras dengan matlamat Malaysia sebagai tuan rumah AIPA dan membawa ASEAN ke arah lebih progresif dan bersatu.

Johari yang merupakan Presiden baharu AIPA ke-46, sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam sejak 23 Okt atas jemputan rakan sejawatnya Tran Thanh Man.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini memaklumkan Johari turut yakin sasaran perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam sebanyak US$18 bilion menjelang 2025 akan dicapai secara seimbang.

Menurut kenyataan itu, Minh Chinh turut menyuarakan sokongan kepada pelabur Malaysia di republik itu dan menggalakkan syarikat Vietnam meneroka peluang pelaburan baharu di Malaysia, khususnya dalam sektor teknologi dan transformasi digital.

“Dalam rangka lawatan ini, Johari juga menghadiri sesi Persidangan National Assembly Vietnam selain berbincang dengan Thanh Man mengenai peluang memperkukuh diplomasi Parlimen dan mempererat hubungan legislatif antara dua negara.

“Johari turut mengadakan pertemuan penting dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, untuk membincangkan isu keselamatan, kerjasama pertahanan, dan kestabilan maritim di Laut Timur, seiring dengan komitmen kedua-dua negara dalam mengekalkan keamanan serantau,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here