PASIR MAS, 27 Okt – Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh penjaja serta peniaga lebih wajar dijadikan pilihan dan bukannya syarat wajib bagi mendapatkan lesen perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata walaupun pihaknya menyambut baik caruman SKSPS namun tidak adil jika ia diwajibkan  kerana ada penjaja atau peniaga yang sudah memiliki insurans lain.

“Bagaimanapun, kita memang menggalakkan penjaja atau peniaga yang berhasrat membuat caruman skim ini kerana bayarannya juga tidak besar dan mereka dapat perlindungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 Peringkat Kelantan di sini hari ini.

Media semalam melaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjadikan caruman SKSPS sebagai syarat wajib mendapatkan lesen menjaja bermula tahun depan.

Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob berkata pihaknya sedang mengenal pasti jumlah keseluruhan penjaja agar mereka mendapat perlindungan sosial kerana golongan itu turut terdedah kepada risiko kemalangan, keilatan dan kematian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here