BEIJING, 27 Okt – China menggesa Amerika Syarikat (AS) segera menghentikan cubaan mempersenjatai Taiwan serta tindakan berbahaya yang menjejaskan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
Gesaan itu dibuat menerusi jurucakap Kementerian Luar (MFA) susulan Jabatan Negara AS meluluskan pakej penjualan senjata bernilai AS$1.988 bilion (RM8.63 bilion) kepada Taiwan antaranya termasuk Sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Udara Termaju Nasional (NASAMS) dan sistem radar.
Jurucakap itu berkata tindakan AS seumpama melanggar prinsip satu China dan tiga pengumuman bersama China-AS.
MFA mengkritik AS mencabul kedaulatan dan kepentingan keselamatan China, mencemari hubungan dua negara serta keamanan Selat Taiwan, sekali gus menghantar mesej yang salah kepada pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’.
Menurut jurucakap itu, China akan bertindak balas secara tegas dan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah.