BEIJING, 30 Okt – Sepasukan doktor di China sedang membangunkan sistem termografi inframerah berasaskan kecerdasan buatan (AI-IRT) untuk saringan kanser payudara, membolehkan pengguna dengan mudah memeriksa tahap risiko kanser mereka dengan memautkan kamera inframerah ke telefon pintar mereka.

Menurut pasukan penyelidik dari Hospital Kolej Perubatan Peking Union (PUMCH) yang berpangkalan di Beijing, sistem ini terdiri daripada kamera inframerah, algoritma AI dan platform data besar.

Selepas memautkan kamera inframerah ke telefon pintar, pengguna boleh menggunakan kamera itu untuk menangkap imej termal payudara mereka. Imej ini kemudian dimuat naik ke aplikasi telefon dan diproses secara automatik oleh algoritma AI, dengan keputusan menunjukkan pelbagai tahap risiko kanser, lapor Xinhua.

Pasukan penyelidik menjangkakan sistem ini akan menjadi penyelesaian pemeriksaan awal kanser payudara yang lebih mudah, tepat, dan kos efektif untuk wanita di China. Pada masa ini, pemeriksaan sendiri payudara adalah kaedah utama untuk pemeriksaan praklinikal, namun kebanyakan wanita tidak melakukan pemeriksaan sendiri secara berkala atau menggunakan teknik yang betul.

Kanser payudara adalah masalah kesihatan utama bagi wanita di China. Pada 2022, China mencatatkan 357,200 kes baharu kanser payudara, yang merupakan penyakit malignan kedua paling lazim dalam kalangan wanita pada tahun itu, dengan 75,000 kematian akibat penyakit berkenaan.

“Pemeriksaan awal dan diagnosis adalah kunci kepada rawatan kanser payudara,” kata Sun Qiang, seorang doktor pakar kanser payudara di PUMCH dan ahli teras dalam pasukan penyelidik.

Berbanding dengan kaedah pemeriksaan klinikal utama seperti ultrabunyi, mamografi dan pengimejan resonans magnetik (MRI), sistem AI-IRT sebagai kaedah pemeriksaan praklinikal berskala besar mempunyai kelebihan kerana ia tidak invasif, bebas radiasi, pantas dan lebih mampu milik. IRT juga dianggap berkesan dalam pemeriksaan payudara yang padat, yang lebih lazim dalam kalangan wanita Asia.

“Ia adalah penyelesaian China untuk pemeriksaan awal kanser payudara bagi wanita China,” kata Zhou Yidong, pengarah jabatan pembedahan payudara PUMCH.

Berdasarkan penemuan semasa, penyelidik berharap untuk memperkenalkan sistem AI-IRT kepada orang ramai untuk digunakan di rumah dan pusat kesihatan komuniti pada masa depan, sekali gus menjimatkan masa membuat temu janji di hospital dan menunggu beberapa hari untuk pemeriksaan klinikal.

Wang Xuefei, seorang doktor di jabatan pembedahan payudara PUMCH dan ahli utama dalam pasukan penyelidik berkata walaupun keputusan penyelidikan memerlukan kajian prospektif berkualiti tinggi untuk pengesahan lanjut, adalah pasti sistem AI-IRT mempunyai potensi aplikasi yang besar.

Menurut penyelidik, mereka telah menyelesaikan pemindahan teknologi perkakasan teras untuk sistem AI-IRT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here