BANGI, 6 Nov – Syor Malaysia agar Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika melanggar undang-undang dalam isu membabitkan Palestin merupakan langkah bermoral dan beretika, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
Beliau berkata hal ini kerana Israel tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan sebarang peraturan dalam konvensyen antarabangsa seperti mana yang dituruti oleh negara anggota.
“ … saya tidak pasti jika ia boleh (disingkirkan), tetapi ia keputusan yang tepat kerana Israel menentang PBB dan tidak patut menjadi ahli PBB.
“Israel tidak menghormati undang-undang piagam PBB, langgar undang-undang antarabangsa, langgar Konvensyen Geneva … kenapa hingga kini tiada tindakan ke atas Israel?” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ke-6 di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini Selasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin berkata Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
Anwar berkata draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka dibentangkan pada Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.
Israel diberi keahlian penuh dalam PBB pada 11 Mei 1949.