KUALA LUMPUR, 7 Nov — Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket dalam semua bas ekspres, sehingga siasatan berhubung insiden seorang remaja maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan peralatan itu, selesai dijalankan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata larangan sementara itu, bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut.

“Kita juga ada dapatkan khidmat nasihat Suruhanjaya Tenaga (ST)…dan kalau ada apa-apa penambahbaikan perlu dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, kita bersedia bekerjasama dengan ST untuk melihat balik SOP yang perlu kita laksanakan sebelum pendawaian atau penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai keselamatan penggunaan soket dalam bas ekspres dan kerjasama dengan ST. 

Loke berkata ketika ini pemeriksaan terhadap soket itu tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada proses pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). 

“Untuk bas ini, dia ada coach builder masing-masing dan memang setakat ini dalam pemeriksaan Puspakom dan sebagainya, soket tak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan tersebut,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu keselamatan penggunaan soket yang terdapat dalam kapal terbang susulan insiden itu, Loke berkata soket di dalam pesawat dan kereta api mempunyai piawaian tersendiri dan penumpang tidak perlu bimbang untuk menggunakannya. 

“Pesawat ini memang dikenal pasti ada piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat kapal terbang…tak perlu bimbang penggunaan soket tersebut, tetapi untuk bas memang sekarang tiada piawaian.

“Bukan sahaja kapal terbang mungkin ramai juga Ahli Parlimen dari Utara menggunakan ETS untuk balik ke kawasan masing-masing, jadi ETS pun ada soket, kita jangan panik dulu, kapal terbang, kereta api dia ada piawaian dia sendiri,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Nazri mengenai punca kejadian remaja maut akibat penggunaan soket tersebut, Loke berkata pada 4 Nov Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk meneliti insiden tersebut.

Beliau juga memberikan masa selama 14 hari kepada pasukan itu untuk menyediakan laporan tersebut dan punca sebenar insiden itu akan diketahui setelah laporan berkenaan lengkap dan diserahkan kepada kementerian.

“Pasukan Petugas Khas ini yang diketuai Kementerian Pengangkutan turut dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), APAD, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Puspakom dan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

“Sebagai langkah awalan dan amalan prosedur biasa, kementerian melalui APAD telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) bertujuan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kemalangan itu daripada pengendali bas ekspres terlibat pada 4 Nov dan syarikat perlu mengemukakan maklum balas kepada APAD dalam masa tiga hari bekerja iaitu selewat-lewatnya pada 6 Nov,” katanya.

Selain itu, Loke berkata JPJ juga telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas badan bas tersebut pada 5 Nov di Butterworth, Pulau Pinang yang turut disertai oleh ST serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Malah semalam, beliau berkata wakil ST, JPJ, MIROS, SIRIM dan APAD juga telah melakukan pemeriksaan awal ke atas syarikat pembuat bas yang terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here