BARCELONA, 8 Nov — Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan komitmennya untuk membantu lebih ramai pemain industri bandar pintar Malaysia mengembangkan sayap mereka ke pentas dunia.

Beliau menegaskan syarikat tempatan mempunyai potensi yang besar untuk bersaing di peringkat global.

“Sebenarnya, syarikat Malaysia adalah syarikat bertaraf global dan tugas kita memasarkan syarikat ini serta mencari peluang kerjasama dengan syarikat besar antarabangsa.

“Kita mempunyai bakat dan syarikat yang hebat yang telah mencapai kejayaan besar di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebelum mengakhiri lawatan kerjanya ke Sepanyol dan menghadiri Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar 2024 (SCEWC 2024) di sini.

Beliau turut berkongsi keyakinan bahawa lebih banyak kerjasama antara syarikat pintar Malaysia dan Eropah dapat dimeterai daripada lawatan tersebut.

“Kita membawa bersama syarikat Malaysia dan mereka sedang melihat pasaran rantau Eropah. Saya rasa perbincangan yang diadakan dengan syarikat dari Eropah ini juga menunjukkan kemungkinan untuk kita menjalin kerjasama.

“Banyak peluang perniagaan yang telah dibincangkan dan saya rasa ini adalah perkara yang akan diteruskan selepas ini,” katanya.

Gobind berkata Malaysia juga meraih pelbagai manfaat daripada penyertaan SCEWC, yang dapat membantu kerajaan merangka polisi yang tepat bagi memastikan pembangunan bandar pintar memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Katanya pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh daripada acara antarabangsa ini membolehkan Malaysia memahami lebih mendalam mengenai penyelesaian bandar pintar yang terbaik serta cara untuk mengadaptasi teknologi dan pendekatan tersebut dalam konteks tempatan.

“(Kami mempelajari mengenai) pelbagai aspek bandar pintar, cabaran akan datang, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan industri serta bagaimana kita dapat menggabungkan semua elemen ini untuk berkembang dengan lebih cekap. 

“Saya percaya dengan penganjuran SCE di Kuala Lumpur pada tahun depan akan menempatkan Malaysia di pentas global,” katanya.

Beliau berkata acara bertaraf dunia ini akan menyediakan peluang luar biasa kepada syarikat tempatan untuk mempamerkan penyelesaian teknologi inovatif mereka serta membuka ruang untuk kerjasama dan perkongsian antarabangsa.

Ini seterusnya mengetengahkan kemampuan teknologi Malaysia merangkumi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital lain yang seiring dengan perkembangan semasa bandar pintar dunia.

Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menganjurkan Ekspo Bandar Pintar (SCE) di Kuala Lumpur mulai 17 hingga 19 Sept 2025.

Penganjuran itu menonjolkan komitmen negara terhadap inovasi dan pembangunan bandar digital yang mampan di samping menjadi peneraju di ASEAN. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here