KUALA LUMPUR, 18 Jun  — Titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Parlimen segera diadakan dan dipercepatkan pemberian vaksin adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya parti itu juga menyanjung tinggi titah Seri Paduka tentang pentingnya mempunyai kerajaan yang  stabil dan kukuh dengan berfungsi secara efektif menangani COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara, selain menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan ‘politiking’ supaya pihak-pihak terlibat, khususnya kerajaan dapat memberikan tumpuan dalam menangani wabak COVID-19.

“PAS meyakini bahawa titah pandangan Baginda Tuanku berkenaan sidang Parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“PAS yakin dengan usaha dan komitmen kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari. Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik.

“Keprihatinan Seri Paduka dan seluruh Duli-Duli Raja-raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here