KUALA LUMPUR, 19 Jun — Sebanyak empat lokaliti masing-masing tiga di Sabah dan satu di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 Jun sehingga 4 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga lokaliti di Sabah yang terlibat ialah Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan;  Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot, Penampang serta Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Mengenai PKPD di Kelantan, Ismail Sabri berkata lokaliti terlibat ialah di Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh setelah KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes dalam tempoh satu minggu apabila 41 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti tinggi iaitu 17.7 peratus. 

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD di lima lokaliti di Sabah iaitu Felda Umas 4 di Kalabakan dan Kampung Tanjung Batu Darat;  Kampung Blok 31; Kampung Sentosa, Blok 5 Hilltop serta Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu semuanya di Tawau akan ditamatkan esok.

Katanya PKPD di  Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang dan asrama pekerja Kilang Eco Medi Glove di Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping, daerah Larut Matang dan Selama juga ditamatkan esok.

Ismail Sabri berkata PKPD di Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli,  Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 4 Julai setelah KKM mendapati masih berlaku penularan dalam komuniti serta terdapat kes baharu di lokaliti tersebut.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata seramai 718 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam dan daripada jumlah itu seramai 663 dikompaun, 49 direman, manakala enam lagi dijamin.

Beliau berkata antara kesalahan dikesan termasuk gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri/daerah tanpa kebenaran selain makan dalam premis makanan.

Mengenai Op Benteng pula, 58 orang pendatang tanpa izin telah ditahan semalam, katanya dan menambah bahawa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga membuat 123 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam dan enam diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here