ALOR SETAR, 20 Jun — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hanya akan diadakan selepas Parlimen bersidang, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Sehubungan itu beliau berkata, tiada tarikh tertentu yang ditetapkan untuk DUN Kedah bersidang dalam tempoh terdekat, baik secara dalam talian atau hibrid kerana masih terikat dengan ordinan darurat.

“Tunggu Parlimen bersidang dulu. Secara semuka atau maya (perancangan DUN Kedah bersidang), kita tunggu perkembangan semasa selepas Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Jumaat lepas, Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa Menteri Besar Kedah itu menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan kadar segera, bagi memohon perkenan baginda untuk pembukaan semula persidangan DUN.

Ini berikutan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lalu, yang menzahirkan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang kerajaan, dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pula dipetik berkata di peringkat negeri pula, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan meneliti dan merujuk format serta prosedur operasi standard (SOP) persidangan Parlimen terlebih dahulu, untuk dijadikan panduan sebelum sidang DUN Kedah berlangsung kelak.

Kebiasaannya persidangan DUN Kedah berlangsung pada Julai atau Ogos dengan kali terakhir ia diadakan adalah pada 15 hingga 19 Nov tahun lalu, iaitu ketika Menteri Besar Kedah itu membentangkan Belanjawan Kedah 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here