KUALA LUMPUR, 20 Jun — Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 22 lagi kes positif melibatkan Varian yang Membimbangkan (VOC) COVID-19 bagi tempoh 11 Jun hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 14 kes varian beta (B.1.351) dan lapan lagi adalah kes varian delta (B.1.617.2).

Bagi kes varian beta, masing-masing  tiga kes di Selangor, Sabah dan Terengganu; dua kes di Kedah dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.

“Lapan kes varian delta pula, masing-masing dua kes dikesan di Johor, Labuan dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan VOC di negara ini sebanyak 167 setakat semalam, manakala kes Variant Berkepentingan (VOI) pula sebanyak 16 kes bagi tempoh sama.

Di Malaysia, terdapat tiga VOC telah dikenal pasti hingga kini, iaitu varian beta dengan 137 kes, varian delta (21 kes) dan varian alpha (B.1.1.7) dengan sembilan kes.

Bagi VOI pula juga terdapat tiga varian, iaitu varian theta (P.3) dengan 12 kes,  varian eta (B.1.525) sebanyak tiga kes dan varian kappa (B.1.617.1) hanya satu kes.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyak ujian saringan COVID-19, pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian itu dalam komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here