KUALA LUMPUR, 22 Jun  — Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) menggesa kerajaan untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata Malaysia telah kehilangan kelebihan penggerak pertamanya kerana negara ini belum meratifikasi kedua-dua perjanjian itu.

Sehubungan itu, ASEAN-BAC hari ini mengemukakan memorandum secara maya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menyokong ratifikasi RCEP dan CPTPP.

Mohd Munir berkata persatuan perdagangan, dewan perdagangan, badan profesional serta majlis perniagaan mengiktiraf kepentingan proses ratifikasi yang boleh meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran RCEP dan CPTPP.

“Ia menyediakan peluang kepada perniagaan Malaysia dengan menawarkan akses pasaran kepada hampir satu pertiga daripada penduduk dunia, memperluas saluran penyumberan intrawilayah bahan mentah pada harga yang kompetitif dan mengintegrasikan rantaian bekalan.

“Selain itu, ia menggalakkan ketelusan lebih tinggi untuk berkongsi kemudahan perdagangan, kerjasama ekonomi, penstandardan peraturan mengenai e-dagang dan memberi kepastian dalam perlindungan harta intelek,” katanya pada Webinar ASEAN-BAC Malaysia 2021 hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu bertindak segera bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan kedua-dua perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani Malaysia.

“Kami meminta kerajaan untuk meratifikasi RCEP dan CPTPP menjelang akhir 2021 untuk meraih kelebihan penggerak awal dan memperkukuhkan ekonomi,” katanya.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata, data pelaburan langsung asing menunjukkan Vietnam telah menerima manfaat sebagai antara yang terdahulu meratifikasi CPTPP.

“Dalam satu tinjauan terkini oleh The Economist mendapati responden lebih optimis terhadap Vietnam berbanding negara anggota ASEAN lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Tan Sri Soh Thian Lai berkata ratifikasi kedua-dua perjanjian perdagangan itu adalah penting terhadap pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here