KUALA LUMPUR, 2 Julai — Keutamaan vaksinasi perlu diberikan kepada pekerja industri pembinaan dan rantaian bekalan bahan binaan di bawah Fasa Dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan sasaran vaksinasi penuh atau dua dos menjelang suku ketiga 2021, menurut Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM).

Persatuan itu turut menggesa kerajaan membenarkan pembukaan semula industri pembinaan secara berperingkat dan mengikut keutamaan.

Presiden, Tan Sri Sufri Mhd Zin berkata MBAM bersama-sama 35 persatuan lain dalam industri pembinaan telah mengemukakan Memorandum Bersama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Secara amnya, kami amat menyokong usaha serta inisiatif oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) setakat ini.

“Bagaimanapun, kami berharap jadual penghantaran bekalan vaksin dapat dipertingkatkan bagi mencapai kadar vaksinasi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata berdasarkan pelaksanaan Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac), hanya 40,000 dos vaksin diperuntukkan bagi pekerja pada fasa satu dan 100,000 dos pada fasa dua, secara keseluruhannya hanya bagi 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja industri pembinaan yang  merangkumi kira-kira 1.4 juta orang.

“Justeru, dikhuatiri sasaran rangkaian imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai mengikut perancangan pihak kerajaan,” katanya.

Sufri berkata persatuan itu juga sepakat berpendapat pembukaan semula industri pembinaan perlu dilakukan mulai sekarang dan bukannya pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Penggunaan nilai ambang secara kolektif di peringkat kebangsaan berbanding penggunaan situasi tempatan yang spesifik tidak begitu membantu dalam perancangan ahli-ahli kami,” katanya.

Beliau berkata lanjutan Fasa Satu PPN hingga Julai 2021 tanpa tarikh tamat yang jelas juga sudah menjadi petanda bahawa peralihan ke fasa PPN seterusnya kekal bersifat subjektif.

Pihaknya juga berpandangan kelonggaran boleh diberikan kepada beberapa sektor dalam industri untuk kembali beroperasi apabila sebahagian tenaga kerja mereka telah menerima vaksin, katanya.

“Semua syarikat atau perniagaan yang dibenarkan beroperasi hendaklah mematuhi prosedur operasi standard yang ketat walaupun kalangan pekerja mereka ada yang sudah menerima vaksin sepenuhnya,” katanya.

Sufri berkata menerusi Memorandum Bersama itu, kajian perluasan liputan operasi klausa variasi harga (VOP) dan lanjutan masa (EOT) secara automatik kepada projek pembinaan sektor swasta juga diketengahkan.

Beliau berkata memorandum itu juga mengandungi cadangan pindaan Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 untuk menyatakan tuntutan lanjutan masa dan perkongsian kos dengan jelas.

“Peserta industri pembinaan amat berharap cadangan-cadangan dalam Memorandum Bersama tersebut dapat diteliti dengan sewajarnya dan seterusnya diterima untuk pelaksanaan dengan kadar segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here