BETONG, 7 Julai  — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan bermesyuarat di Kuching esok bagi membincangkan persediaan negeri untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perbincangan akan berkisar kepada keperluan Sarawak untuk melakukan pembahagian kawasan mengikut zon tertentu, dan juga bagaimana ia dapat dilaksanakan untuk beralih kepada fasa berikutnya dalam pelan pemulihan.

“Persediaan juga akan akan dibuat dalam menilai keadaan pandemik COVID-19 di setiap daerah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung perkembangan projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, di Spaoh di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi JPBN Sarawak berkata untuk beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua, Sarawak akan menggunakan tiga nilai ambang sebagai penentu yang terdiri daripada jumlah kes positif yang direkodkan, keupayaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, dan peratus populasi yang divaksin.

“Sekiranya angka harian kes positif berterusan menunjukkan trend menurun sebagaimana keadaan sejak beberapa hari lepas, kita seharusnya boleh beralih ke Fasa Dua tidak lama lagi, katanya merujuk kepada kes baharu COVID-19 dalam negeri.

Sejak dua hari berturut-turut jumlah kes baharu positif COVID-19 berada di paras bawah 300 di Sarawak dengan 286 kes dilaporkan semalam, berbanding 544 kes yang diumumkan pada 1 Julai.

Merujuk kepada trend itu, Uggah berkata ia mungkin disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat pergerakan serta aktiviti orang ramai, di samping pelaksanaan program vaksinasi yang aktif dalam negeri.

“Namun kita tidak dapat benar-benar pasti kerana kita belum capai matlamat mevaksin 2.2 juta penduduk Sarawak,” katanya.

Katanya setakat semalam 1,612,639 penduduk Sarawak telah divaksin, dengan 1,254,639 juta menerima dos pertama manakala 357,574 telah melengkapkan dua dos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here