KUCHING, 9 Julai — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang meneliti dan memperincikan nilai ambang yang akan digunakan untuk peralihan fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata antara indikator yang bakal dilihat termasuk bilangan kes jangkitan harian COVID-19, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan populasi Sarawak yang telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Ini bagi membolehkan peralihan bahagian-bahagian di Sarawak dari satu fasa ke fasa berikutnya selain melihat kedudukan semasa setiap bahagian dan daerah berdasarkan nilai ambang ditetapkan.

“Pengumuman hasil kajian itu akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 Sarawak di sini, hari ini.

Hari ini sebanyak 406 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Sarawak selain tiga kes kematian direkodkan.

Sebanyak 108 kes hari ini melibatkan tahanan imigresen atau penjara dengan 34 kes melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) di Pusat Tahanan Imigresen Batu Lintang, Sri Aman; 56 kes dari tahanan di Penjara Pusat Miri dan 18 kes merupakan tangkapan oleh Jabatan Imigresen di Kuching.

Sementara itu Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata buat masa ini terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 di dalam pusat tahanan atau penjara.

“Tetapi hari ini jangkitan dalam tahanan masih berlaku. JPBN akan menyiasat jika terdapat kesilapan atau terdapat kecuaian hingga perkara ini boleh berlaku lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here