KUALA LUMPUR, 9 Julai — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini bagi menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata DMZ itu ditempatkan di kawasan parkir bawah tanah hospital tersebut.

Beliau berkata ruang parkir telah digazetkan sebagai DMZ yang direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi. 

“Ia juga disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan merangkumi aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, ‘vacuum ports’ dan lain-lain bantuan sokongan perubatan serta mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata DMZ yang menyediakan 50 katil tambahan diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Memerintah hospital iaitu Brig Jen Datuk Dr Rosman Ab Rahman dan Lt Kol Dr Mohamad Azlan Arrifin sebagai Komander Operasi DMZ.

Katanya penyediaan DMZ turut dibantu Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here