TAPAH, 9 Julai  — Persidangan Parlimen yang akan diadakan hujung bulan ini, tidak seharusnya dijadikan sebagai gelanggang perdebatan berkaitan persoalan politik atau peralihan kuasa kepimpinan negara, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata persidangan Parlimen, seharusnya menjadi platform bagi membincangkan kesan COVID-19, dan mencari jalan penyelesaian untuk pemulihan ekonomi negara, serta membantu meringankan beban rakyat akibat pandemik berkenaan.

“Jadi, saya berharap orang (pemimpin parti) politik tidak meletakkan soal politik sebagai perkara paling utama, dalam agenda utama pada sidang Parlimen nanti, kerana paling utama adalah usaha untuk menyelamatkan rakyat, itu perlu didahulukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang, bercakap kepada pemberita selepas melawat Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, dekat Chenderiang hari ini.

Sebelum ini kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari, bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here