KEPALA BATAS, 9 Julai — Seorang ahli perniagaan produk kesihatan dan pakaian kerugian RM117,000 selepas wanita itu ditipu seorang lelaki warga China yang menawarkan sindiket perjudian menerusi media sosial, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 39 tahun itu mula terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga China yang kononnya seorang pengurus di sebuah syarikat perjudian di Macau dan menawarkan pulangan tetap sebanyak 10 peratus daripada setiap transaksi.

“Lelaki itu menjalankan modus operandi dengan memperdaya mangsa untuk berjudi dengan pulangan tetap sebanyak 10 peratus daripada setiap transaksi dan menjanjikan untuk bantu wanita tersebut memasarkan produknya di China.

“Mereka juga tidak pernah bersua muka dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp, mangsa yang mempercayai tawaran suspek telah membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akaun tempatan yang keseluruhannya berjumlah RM117,000,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata wanita itu hanya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi lelaki tersebut dan  membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan semalam.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati beberapa akaun yang digunakan oleh suspek pernah terlibat dalam kes penipuan sebelum ini dan kes penipuan membabitkan wanita itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam pekembangan lain, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas setengah kilogram dadah bernilai kira-kira RM10,000 dalam serbuan di tepi Jalan Permatang Bendahari di Penaga, di sini pada 4 petang semalam.

“Lelaki berumur 43 tahun itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan dijalankan, polis merampas heroin seberat 430 gram (g), syabu (52 g), ganja (2.3 g) dan sebiji pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM10,108 disyaki bagi pasaran di sekitar kawasan Penaga serta Kepala Batas,” katanya.

Beliau berkata semasa ditahan, lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu berada berhampiran motosikalnya iaitu jenis Yamaha 125 ZR dan dipercayai sedang menunggu pelanggannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here