PUTRAJAYA, 15 Julai — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang memperluaskan program berkaitan kesihatan mental di stesen televisyen swasta dan akhbar tempatan, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia susulan program kesihatan mental yang bertujuan menyalurkan sokongan kepada rakyat dan disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1 Jun lepas, mendapat perhatian antara 1.5 juta hingga 1.9 juta penonton, katanya.

Menurutnya, program berkenaan menggariskan tiga objektif iaitu meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kesihatan mental dan kepentingannya, mengelakkan stigma sosial terhadap individu yang berdepan masalah kesihatan mental dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai bantuan sedia ada.

“Program kesihatan mental ini akan diteruskan di RTM namun, kita akan akan berbincang dengan stesen televisyen swasta lain sekiranya mereka berminat untuk melaksanakan program berkaitan kesihatan mental.

“Kita juga sedang melihat bagaimana program ini boleh diperluaskan dalam akhbar-akhbar menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu sekiranya ada keperluan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental dalam persekitaran COVID-19 secara dalam talian hari ini. Pasukan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental diwujudkan April lepas, melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi membantu individu yang terkesan akibat COVID-19.

Saifuddun berkata program kesihatan mental di RTM itu diadakan secara interaktif bagi membolehkan penonton membuat panggilan telefon untuk mendapatkan bantuan dan pertanyaan.

“Program ini mendapat sambutan kerana ia membariskan para penceramah daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berkongsi tip-tip penting dalam pengurusan kesihatan mental, tekanan psikologi, keresahan, kehilangan pekerjaan dan pengangguran, masalah komunikasi dan sosial yang dihadapi kanak-kanak dan dewasa serta tekanan di tempat kerja ketika berdepan dengan situasi semasa yang cukup genting ini,” katanya.

Program itu melibatkan kerjasama antara KKMM, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lembaga Kaunselor Malaysia dan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Saifuddin berkata kerajaan mengambil maklum semakin ramai rakyat Malaysia menghadapi masalah kesihatan mental dan tertekan akibat impak pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

“Ada yang berhadapan dengan masalah kebimbangan akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemurungan dan pengasingan sosial dan tidak kurang juga, masalah pengangguran, tekanan psikologi, keganasan rumah tangga dan kekangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Ditanya trend penularan video dan gambar bunuh diri di media sosial, Saifuddin berkata KKMM memandang serius isu tersebut dan sedang bekerjasama dengan polis bagi memantau keadaan itu.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial agar video yang dimuat naik dapat diturunkan daripada paparan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM Dr Nurashikin Ibrahim berkata perkhidmatan secara dalam talian bantuan sokongan psikososial KKM telah diwujudkan sejak Mac 2020 untuk membantu golongan yang tertekan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, terdapat peningkatan tiga kali ganda pada tahun ini berbanding 44,061 panggilan yang diterima pada tahun lepas dengan 40 peratus daripadanya melibatkan mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here