JOHOR BAHRU, 15 Julai — Pusat sembelihan ibadah korban Aidiladha di negeri ini diingatkan supaya menjaga tahap kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti korban yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik semula atau membatalkan lesen dan permit sembelihan yang telah diluluskan terhadap mana-mana pusat sembelihan yang didapati melanggar SOP.

Beliau berkata peringatan itu susulan terdapat segelintir pusat sembelihan yang didapati tidak menepati SOP yang dikehendaki ketika lawatan kerjanya baru-baru ini.

“Walaupun ada pusat sembelihan yang bersifat sementara, pemilik tidak seharusnya memandang remeh SOP korban dalam tempoh pandemik COVID-19. Johor tidak mahu berlakunya kluster korban di mana-mana pusat sembelihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai vaksinasi, beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam telah membuat ketetapan bahawa semua imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa masjid dan surau Jumaat di negeri ini diberikan vaksin dengan kadar segera.

Langkah itu  bagi memastikan tiada kluster agama selain penambahbaikan SOP masjid dan surau di negeri itu.

“Semua pejabat kadi daerah telah diarahkan supaya bertindak segera bagi menghantar senarai nama pengurusan masjid dan surau daerah ke Pejabat Kesihatan Daerah di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here