KUALA LUMPUR, 16 Dis– HSBC Malaysia terus memudahkan koridor perniagaan Malaysia-China melalui Perbendaharaan Korporat dan Forum Pelaburan yang diadakan baru-baru ini oleh bank berkenaan bagi menonjolkan peluang-peluang utama yang wujud di Malaysia kepada korporat-korporat China.

Forum yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, diterajui oleh pasukan Pengurusan Tunai dan Kecairan Global HSBC Malaysia, ia menghimpunkan wakil-wakil daripada lebih 40 syarikat China, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut HSBC Malaysia lagi, para peserta telah diberikan pandangan mengenai keadaan pasaran termasuk trend dan inovasi terkini dalam pengurusan perbendaharaan, pelaburan di Malaysia serta penubuhan hab di ASEAN; selain daripada cara bagi menangani landskap pengawalseliaan, instrumen cukai dan perbendaharaan di Malaysia serta ASEAN.

Topik-topik lain yang turut disentuh merangkumi analisis ringkas mengenai Bajet 2020, sokongan industri, matlamat pengawal selia dan kerajaan untuk meningkatkan automasi serta produktiviti yang selaras dengan Perbendaharaan 4.0 dan teknologi yang memacu operasi perbendaharaan.

“Malaysia mahu menarik dan mengembangkan industri berteknologi tinggi dan kami telah meletakkan dasar serta insentif untuk menarik pelaburan syarikat China dalam sektor ini.

“Dengan adanya, skim insentif dan dasar yang menyokong pelaburan, kami berharap HSBC boleh memainkan peranan untuk membantu kami menjadi saluran tambahan bagi berhubung dengan lebih banyak syarikat China yang ingin melabur di Malaysia. ” kata Lim dalam ucaptamanya.

Ketua Negara Malaysia untuk Kecairan Global dan Pengurusan Tunai, Shayan Hazir berkata sudah sampai masa bagi syarikat Malaysia dan China untuk meningkatkan tahap penglibatan.

“Syarikat korporat China melihat Malaysia sebagai gerbang strategik kepada ASEAN yang memiliki sambungan logistik taktikal dengan China dan landskap perniagaan yang sangat baik.

“Selain itu, kerjasama yang telah diperbaharui antara kedua-dua negara dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) akan menjadi kunci untuk menghapuskan halangan dan meningkatkan hubungan antara China, Malaysia serta dunia,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here