SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai tadbir yang berkhidmat di sebuah majlis perbandaran di negeri ini kerana disyaki menerima wang suapan berjumlah lebih RM30,000 sebagai balasan untuk mengesahkan perakuan siap kerja bagi kerja-kerja pelupusan sampah.

Menurut sumber SPRM, suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, dekat sini kira-kira 2 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek dipercayai telah menerima suapan berjumlah lebih RM30,000 daripada seorang pengarah syarikat secara berperingkat menerusi pembayaran cek pada 2014 sebagai balasan untuk mengesahkan perakuan siap kerja pelupusan sampah sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam kontrak perjanjian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata suspek akan dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam, dekat sini, pagi esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here