KUALA LUMPUR, 31 Julai — Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Malaysia atas program vaksinasi yang diadakan untuk warganegara republik itu di negara ini.

Bercakap kepada media selepas melawat program berkenaan, Ouyang berkata beliau menyifatkan program itu adalah hasil persahabatan yang utuh antara kedua-dua negara.

“Sejak tercetusnya pandemik COVID-19, China dan Malaysia telah saling menolong dengan bantuan-bantuan yang disumbangkan untuk melawan pandemik. Kita akan menumpaskan pandemik ini bersama-sama,” katanya.

Terdahulu Ouyang bersama Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, melawat rakyat China yang mendapatkan vaksin di pusat vaksinasi Golden Horses Health Sanctuary di sini hari ini.

Lebih 500 warga China yang bekerja di Lembah Klang menerima vaksin dalam program hari ini.

Khairy berkata warganegara China selebihnya akan menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara menjelang minggu depan.

“Saya diberitahu jumlah rakyat China di Malaysia ialah lebih kurang 30,000,” katanya kepada pemberita.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berterima kasih kepada kerajaan China, bukan sahaja untuk sumbangan mereka tetapi juga sokongan berterusan untuk Malaysia dalam memperoleh vaksin keluaran negara itu.

“Walaupun Malaysia membeli vaksin dari syarikat farmasi China seperti Sinovac dan CanSino, kelulusannya telah dibantu oleh kerajaan China.

“Ini adalah antara sebab bagaimana Malaysia mampu mempercepatkan program vaksinasi iaitu hasil sokongan yang diterima daripada kerajaan China,” katanya.

Khairy berkata Malaysia telah mendapatkan12 juta dos Sinovac dan jumlah itu akan ditambah 15 juta dos lagi atau lebih.

“Setakat ini 12 juta (dos) telah dihantar. Kumpulan pertama vaksin satu dos CanSino dari China akan dihantar dalam minggu pertama Ogos,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata Wisma Putra telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menerima sumbangan vaksin dari United Kingdom tidak lama lagi.

“Kita sedang berurusan dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur untuk memuktamadkan tarikh penghantaran 400,000 lebih dos AstraZeneca,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here