Yeo Bee Yin (Gambar fail)

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Penghantaran sisa plastik ke negara asal, perlunya kawalan ketat dikenakan terhadap import sisa plastik dan menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu antara tumpuan diberikan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) sepanjang tahun 2019.

Perkara itu digariskan dalam ‘kad laporan’ pencapaian dan inisiatif Mestecc pada 2019 bagi memajukan sektor-sektor di bawah kementerian yang diterajui Yeo Bee Yin itu, selain turut komited untuk menggarap isu sektor alam sekitar dan perubahan iklim.

Menyentuh isu alam sekitar negara dalam kad laporan setebal 70 muka surat itu, Mestecc menekankan mesej tegasnya kepada dunia apabila komited menghantar balik kontena-kontena yang mengandungi sisa plastik haram ke negara asalnya.

Dianggarkan 100 kontena dihantar balik ke negara asal untuk tahun 2019 yang terdiri daripada negara-negara maju seperti Perancis, Kanada, Belanda dan Jepun.

Mestecc juga mengutarakan keperluan masyarakat Malaysia dan menyuarakan hak mengenakan kawalan ketat terhadap import sisa plastik di Konvensyen Basel yang diadakan pada 29 April hingga 10 Mei 2019 di Geneva, Switzerland.

Oleh itu, untuk membantu menyekat kemasukan sisa plastik dalam negara, delegasi Malaysia juga memberi sokongan penuh terhadap cadangan Kerajaan Norway untuk meminda klasifikasi sisa plastik pada Konvensyen Basel bagi mengenakan kawalan ketat terhadap pergerakan sisa plastik merentasi sempadan. 

Bagi memperkasakan Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030, sebanyak RM8.5 juta peruntukan disediakan untuk tujuan projek penyelidikan dalam menghasilkan produk mesra alam sebagai alternatif kepada plastik serta menghasilkan kit ujian bagi mengenal pasti produk bioplastik.

Melibatkan isu pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim serta insiden gangguan kesihatan yang berlaku di Pasir Gudang, kerajaan juga mengambil beberapa langkah bagi memperbaiki kawalan kualiti alam sekitar yang

Antaranya, Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM17.7 juta untuk meningkatkan keupayaan pemantauan kualiti udara di kawasan perindustrian seluruh Malaysia, terutamanya di Pasir Gudang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama ahli akademik, jabatan dan agensi teknikal serta pihak industri telah menjalankan Kajian Analisis Beban dan Kapasiti Tampungan bagi kawasan itu.

Laporan itu turut menjelaskan mengenai beberapa tindakan yang diambil kementerian bagi mengatasi isu jerebu rentas sempadan yang kebanyakannya berpunca daripada kebakaran hutan tempatan mahupun di negara jiran. 

Kerajaan juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu.

Antaranya kementerian bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia menjalankan lima operasi pembenihan awan di beberapa negeri September lepas serta menggerakkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pihak berkuasa tempatan bagi menangani impak jerebu akibat kebakaran.

Sementara itu, Mestecc melalui Kementerian Luar mengutus surat kepada Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia pada 6 Sept lepas meminta pihak Indonesia mengambil tindakan segera memadamkan kebakaran hutan dan ladang di Indonesia.

Mestecc turut mengutus surat dan mengadakan sidang menerusi telefon dengan Sekretariat ASEAN untuk membincangkan isu jerebu rentas sempadan dan bagaimana platform ASEAN boleh digunakan dengan lebih efektif berhubung isu itu.

Bagi menangani isu jerebu dalam jangka panjang, kerajaan merancang mengkaji keperluan perundangan baharu untuk mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat Malaysia yang menyebabkan jerebu di Malaysia tanpa mengira di mana pembakaran itu dilakukan melalui Akta Pencemaran Merentas Sempadan.

Kerajaan tetap dengan pendirian bersuara tegas untuk meminta negara anggota terutamanya Indonesia mematuhi obligasi di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan selain memperuntukkan RM3 juta bagi penyelidikan untuk mencari penyelesaian inovatif memadamkan kebakaran tanah gambut dengan berkesan. 

Memandangkan perubahan iklim adalah satu isu kompleks merentas pelbagai bidang dan sektor, Mestecc telah menubuhkan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia, yang dilancarkan pada 10 Okt 2019. 

Ia akan memberi tumpuan terhadap penyelarasan aktiviti-aktiviti mitigasi serta adaptasi perubahan iklim melibatkan pelbagai pihak untuk meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia menghadapi perubahan iklim.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here