BUTTERWORTH, 4 Ogos — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 14,400 biji telur awet dari China bernilai RM21,600 kerana tidak mempunyai permit import sah di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini dua hari lepas.

Menurut MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di tapak pemeriksaan NBCT pada 4.30 petang mendapati 150 kotak telur awet itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan jabatan tersebut.

“Berikutan itu pihak MAQIS merampas kesemua 14,400 biji telur tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport telur awet tanpa mengemukakan dokumen permit import yang sah,” kata kenyataan itu.

MAQIS sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here