KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Seorang ketua sindiket pengedaran dadah warga tempatan dan anaknya adalah antara lima individu ditahan polis menerusi operasi Conglomerate Rabu lepas di sekitar Lembah Klang. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 55 tahun termasuk dua wanita warga asing itu ditahan dalam operasi bermula 3.20 petang. 

Beliau berkata sindiket itu didapati giat menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan susulan penahanan itu, polis membuat serbuan di tiga lokasi iaitu di Pudu Ulu, Cheras dan Puchong.

“Susulan serbuan itu, polis merampas antaranya 20.38 kilogram serbuk MDMA, 26.59 liter cecair MDMA, 500 biji pil Eramin 5 dan wang tunai RM3,420. 

“Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan dijadikan sebagai tempat menyimpan dadah yang disewa antara RM2,150 hingga RM2,200 sebulan oleh seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata tiga daripada yang ditahan itu didapati positif Methamphetamine dan hasil semakan juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here