KUALA LUMPUR, 9 Ogos  — Modul Market Finder oleh Google telah diperkenalkan sebagai instrumen pandangan pasaran digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari peluang perniagaan eksport baharu melalui kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)-Google Malaysia. 

Ia juga adalah instrumen untuk memperkukuh asas eksport PKS Malaysia, selain memperluas pengetahuan mengenai eksport, sekali gus membolehkan PKS Malaysia mencapai potensi eksport mereka sepenuhnya.

MATRADE berkata modul digital itu telah diperkenalkan pada bengkel yang diadakan secara maya bertemakan “Mahir Digital Bersama Google” dan dihadiri oleh 500 PKS.

Bengkel itu bertujuan memastikan pengeksport Malaysia terus kompetitif dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kerjasama strategik itu merupakan pencapaian penting untuk terus meningkatkan keupayaan PKS dalam memanfaatkan instrumen digital bagi meningkatkan eksport mereka.

“Ini akan turut membantu PKS mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan eksport. MATRADE menyasarkan untuk meningkatkan semula eksport PKS Malaysia melalui kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Agensi promosi perdagangan nasional itu menggesa PKS untuk mendaftar sebagai ahlinya untuk membolehkan mereka lebih banyak terlibat dalam program promosi eksportnya.  

Pendaftaran boleh dibuat melalui www.matrade.gov.my. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here