KANGAR, 18 Ogos — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan cabaran kayuhan secara maya sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021) bermula 30 Ogos hingga 12 Sept depan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah cabaran yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi UniMAP dengan kerjasama UniMAP Cycling Group (UniCG) itu terbuka kepada orang ramai.

“Walaupun kita masih berdepan pandemik COVID-19, aktiviti bersukan masih boleh dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan di kawasan masing-masing. Aktiviti berbasikal sangat baik untuk memastikan badan kekal sihat dan minda cerdas,” titahnya menerusi satu kenyataan di keluarkan UniMAP hari ini.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan titah perutusan secara rakaman digital bagi mempromosi program itu, di Pejabat Tuanku Canselor, Bangunan Canselori Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata orang ramai yang berminat menyertai cabaran kayuhan itu boleh mendaftar di  https://forms.gle/vH58cESM5ykk1tNe9  mulai 20 Ogos hingga 12 Sept ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here