KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 2,913 kluster telah dilaporkan sejak permulaan fasa kedua gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang bermula 28 Mac lepas hingga semalam (17 Ogos).

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,549 kluster (53.2 peratus) adalah kluster tempat kerja dan 880 (30.2 peratus) adalah kluster komuniti manakala selebihnya kluster-kluster lain.

Beliau berkata daripada 880 kluster komuniti itu, sebanyak 58,776 kes positif COVID-19 telah dikesan dengan 417 kematian direkodkan manakala 14 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 439 kluster masih aktif.

Negeri yang melaporkan kluster komuniti tertinggi ialah Kelantan (239 kluster) diikuti Sarawak (171) dan Sabah (94).

“Kluster komuniti yang dilaporkan ini berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat seperti aktiviti ziarah-menziarahi keluarga atau penularan di kawasan kediaman (481 kluster), komuniti di rumah panjang (44 kluster) dan majlis sambutan perayaan (55 kluster).

“Siasatan epidemiologi di lapangan mendapati walaupun terdapat larangan bagi mengadakan majlis sosial atau menerima pelawat dan tetamu, masih ada dalam kalangan masyarakat yang menjalankan aktiviti ziarah-menziarahi atau berkumpul dalam majlis dan seterusnya mencetuskan kluster dalam komuniti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempat kerja, sebanyak 1,549 kluster direkodkan melibatkan 133,247 kes positif COVID-19 dengan 370 kematian, 32 kes sedang menerima rawatan di ICU dan 764 kluster masih aktif serta di bawah tempoh pemantauan wabak.

Negeri yang melaporkan kluster tempat kerja tertinggi ialah Selangor (414 kluster) diikuti Johor (322) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (149).

Beliau berkata tiga subkluster tempat kerja tertinggi yang dilaporkan dalam tempoh ini melibatkan sektor pengilangan (780 kluster), sektor perkhidmatan (260) dan sektor pembinaan (181).

Dr Noor Hisham juga berkata usaha menurunkan jumlah kluster itu memerlukan penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard di tempat kerja, pemantapan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan penguatkuasaan yang tegas.

Beliau berkata oleh itu, kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa sebelum ini yang membawa kepada banyak kematian akibat COVID-19 selain penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial berikutan peningkatan kluster di tempat kerja serta kluster komuniti.

“Kita seharusnya sama-sama mengambil rasa tanggungjawab dalam memelihara negara daripada terus dibelenggu oleh pandemik COVID-19.

“Semoga unit kehidupan kita dapat segera pulih dan berfungsi seperti sediakala bagi memacu negara ke arah yang lebih sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here