KUALA LUMPUR, 11 Jan — Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melalui agensi di bawahnya iaitu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan mengendalikan 32 Program Business Coaching INSKEN (IBC) dan Business Enhancement Programme (BEP) bagi 2020.

Program tersebut disasarkan kepada 980 orang usahawan sedia ada yang ingin membawa perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, kata kementerian itu dan INSKEN dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Industri-industri yang terlibat termasuklah spa, penjagaan selepas bersalin, rumah inap, bakeri, dobi, cucian kereta, jahitan, perancang perkahwinan, kafe dan restoran, jualan pasar raya dan bengkel kereta.

Program IBC dan BEP merupakan program yang menawarkan bimbingan sejak 2017 selama empat bulan yang dijalankan dengan kerjasama pemain industri dan BisKaunselor INSKEN yang dilantik berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang atau industri masing-masing.

“Pada 2019, 62 peratus peserta IBC dan 51 peratus peserta BEP telah berjaya meningkatkan jualan dan pendapatan mereka sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus selepas menyertai program tersebut.

“Peserta-peserta juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 176 peluang pekerjaan baharu selepas melalui program IBC dan BEP,” kata kenyataan itu.

INSKEN menitikberatkan program berbentuk ”outcome-based” (berdasarkan hasil) di mana setiap program yang dijalankan mempunyai rantaian keberhasilan yang dipantau secara bulanan (pendapatan dan bilangan pekerja) melalui aplikasi INSKEN IPRO.

“Selain itu, INSKEN juga telah merancang 24 program untuk golongan bakal usahawan antaranya melalui program siri Latihan Berasaskan Industri INSKEN, selama tiga hari di mana peserta akan diberi peluang untuk mempelajari bagaimana untuk memulakan perniagaan.

“INSKEN juga merancang siri jelajah ke seluruh Malaysia, melalui INSKEN Business Outreach yang merupakan seminar berkaitan Revolusi Industri 4.0, bermula 23 Januari di Shah Alam, Selangor dan tujuh lagi lokasi termasuk Sabah dan Sarawak, menyasarkan melatih 3,500 orang peserta,” kata kenyataan itu.

Secara keseluruhannya, INSKEN merancang untuk menjalankan sebanyak 300 program latihan keusahawanan dan bakal melatih seramai 13,880 orang usahawan sepanjang 2020.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here