KUCHING, 21 Ogos — Hanya pelanggan dan kontraktor yang telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan untuk mengunjungi kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy di seluruh Sarawak. 

Syarikat utiliti tenaga negeri itu dalam satu kenyataan hari ini berkata sebelum memasuki kaunter, pelanggan dan kontraktor juga perlu menunjukkan status vaksinasi mereka kepada kakitangan bertugas menerusi aplikasi mobil MySejahtera.  

“Langkah keselamatan sedia ada seperti mengimbas suhu sebelum masuk, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa, selain daripada menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan masih perlu diamalkan.

Sarawak Energy juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa kaunter perkhidmatannya disanitasi dengan kerap untuk keselamatan kakitangan dan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Sarawak Energy berkata hanya pekerjanya yang telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan hadir secara fizikal di tempat kerja.

“Pada masa ini, pelanggan amat digalakkan melakukan transaksi seperti pembayaran bil secara dalam talian dan pertanyaan menerusi aplikasi mobil Sarawak Energy “SEB Cares”. 

Pembayaran boleh dibuat menerusi platform lain seperti perbankan dalam talian, JomPay selain e-dompet seperti Sarawak Pay dan Boost,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here