KUCHING, 25 Ogos — Sebanyak 1,665 kes atau 99.88 peratus daripada keseluruhan 1,667 kes baharu COVID-19 di Sarawak hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, satu daripada kes baharu itu berada di kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan satu kes lagi di kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

Kategori 1 melibatkan kes jangkitan yang tiada gejala manakala kategori 2 hanya melibatkan gejala ringan.

Pertambahan kes baharu ini juga menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 103,048 kes.

JPBN dalam satu kenyataan turut memaklumkan terdapat lima kematian baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu kini meningkat kepada 508 orang.

Selain itu, PBN Sarawak juga mengisytiharkan satu kluster komuniti baharu iaitu Kluster Opar yang melibatkan penduduk di Kampung Opar di Bau.

“Setakat ini, seramai 66 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 131 individu,” menurutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here