KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Seorang penjual sup herba yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya diperas ugut oleh polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi laporan polis palsu.

Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim, 21, didakwa memberi laporan palsu kepada Lans Koperal Nuratikah Kafly sehingga penjawat awam itu menggunakan kuasanya menyiasat perkara tersebut. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Polis Sentul di sini pada 12.03 tengah hari, 7 Jun lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Andy Yong Kim Seng, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penjaja sup.

“Kes ini bukanlah kes yang serius, namun ia mendapat hebahan media yang luas dan tular di media sosial, terutamanya media berbahasa Cina,” kata peguam itu.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Okt untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here