KUALA LUMPUR, 6 Sept  — Wanita tidak boleh lagi dilihat sebagai mangsa pasif atau pengguna diskriminasi, sebaliknya sebagai pelaksana penting dalam mengubah ruang bandar dan kota supaya adil, selamat dan inklusif gender.

Presiden dan Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata mengiktiraf wanita sebagai pelaksana penting adalah langkah yang tepat dalam revolusi mental kolektif untuk semua orang benar-benar mencapai kesaksamaan gender dan menyedari hak mereka untuk menjadi sebahagian daripada bandar yang selamat.

“Mereka (wanita) mesti diberi kuasa untuk mengambil bahagian dalam kehidupan bandar dan tadbir urusnya, bebas daripada ketakutan terhadap intimidasi dan keganasan.

“Wanita harus bebas bergerak di sekitar bandar mereka seperti golongan lelaki, dan kita harus meningkatkan kempen awam untuk menghentikan gangguan jalanan bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya akses yang selamat dan sama rata ke tempat awam,” katanya.

Zuraida berkata demikian dalam ucaptama perasmian Perhimpunan Wanita Forum Bandar Malaysia 2021 yang membincangkan topik, A Gender Inclusive COVID-19 Urban Recovery yang diadakan secara maya melalui Zoom, hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata dalam mengubah bandar menjadi tempat yang selamat bagi wanita, pemikiran kolektif mesti disesuaikan dengan matlamat pembangunan mampan.

“Kita mesti menangani masalah endemik stereotaip jantina, yang sering menekan wanita dan isu-isu endemik dalam kesihatan awam terutamanya kepentingan perlindungan imun daripada vaksinasi dan akses kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan.

“Keganasan endemik dan virus endemik, ini adalah cabaran kontemporari yang kita hadapi hari ini dan bagi wanita dan kanak-kanak perempuan yang mesti berjuang dengan diskriminasi endemik dan isu kesihatan, kita mesti mencari kaedah untuk mereka mengatasi cabaran ini,” katanya.

Zuraida berkata beliau sangat percaya bahawa rangka tindakan digital itu akan menjadi penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk bandar pintar dan selamat, berikutan itu bandar-bandar harus mengambil pendekatan bersepadu melalui penyelesaian digital serta bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memperkasakan wanita supaya selamat di kawasan bandar. 

Sementara itu, beliau berkata lebih ramai wanita harus dilantik sebagai pembuat keputusan dan kedudukan yang strategik untuk kesaksamaan gender, menghentikan keganasan berdasarkan gender, menghentikan stereotaip gender, mengubah ruang bandar menjadi lebih mesra gender dan meningkatkan teknologi untuk memastikan bandar yang selamat, dapat direalisasikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here