ROMPIN, 6 Sept  — Ucapan terima kasih yang tidak putus-putus dan senyuman jelas kelihatan pada wajah setiap penggiat industri pelancongan di Pulau Tioman di sini, apabila menerima bantuan bakul makanan daripada Tourism Malaysia hari ini.

Pengusaha chalet Abd Hafaz A Hamid, 58, berkata beliau bersyukur dengan bantuan diberikan yang dapat menjimatkan perbelanjaan hariannya selepas kehilangan mata pencarian hampir dua tahun. 

Beliau yang mengusahakan penginapan itu lebih 30 tahun kini menyara keluarga dengan wang simpanan selain bercucuk tanam dan turun ke laut bagi mencari rezeki. 

“Pendapatan sebelum ini memang 100 peratus daripada perniagaan chalet yang diusahakan dengan lokasi pelancongan ini memang menjadi tumpuan penduduk dari Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun kini sepi tanpa pengunjung.

“Tapi saya bersyukur kerana nasib kami mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri…sedikit sebanyak ia melegakan hati kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan Pulau Tioman di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof. Turut hadir Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.

Pemandu pelancong Musa Said, 49, yang sudah 18 tahun menetap di pulau itu, menyifatkan bantuan tersebut sebagai ‘tepat pada masanya’ memandangkan beliau kini ‘beralih tugas’ mengambil upah sebagai buruh untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama tujuh ahli keluarga. 

“Harga barang di pulau ini lebih mahal sedikit dari tanah besar dan tentunya membebankan kami yang kehilangan mata pencarian sejak sektor pelancongan terpaksa ditutup. Bantuan makanan ini sekurang-kurangnya boleh menjimatkan belanja dapur selama seminggu,” katanya.

Pengusaha bot Mohd Syahadan Zainal Abidin, 36, pula berkata beliau menghargai inisiatif Tourism Malaysia yang dilihat mengambil tanggungjawab untuk meringankan beban pemain industri pelancongan di pulau itu.

“Saya penanggung tunggal keluarga. Sejak tidak boleh beroperasi, saya berjimat cermat menggunakan wang simpanan untuk dibuat belanja harian di samping turun ke laut mencari hasil untuk dijual dan makan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Mirza berkata pengagihan bakul makanan itu merupakan serampang dua mata kepada mereka iaitu bagi meringankan beban 300 penggiat industri di pulau itu, selain untuk melihat sendiri situasi terkini pemain pelancongan di situ.

Bantuan itu juga kesinambungan daripada bantuan yang diberikan Tourism Malaysia kepada pemain industri pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pangkor, Perak.

“Pulau Tioman adalah satu daripada pulau yang terletak di Pantai Timur dan menjadi tumpuan pelancongan domestik mahupun antarabangsa, dan pandemik COVID-19 yang berlarutan tentu menjejaskan ekonomi mereka yang majoritinya bergantung kepada sektor pelancongan. 

“Justeru, prihatin dengan nasib mereka kita turun serahkan sumbangan dan harap bantuan ini dapat melegakan mereka sedikit,” katanya.

Pada majlis itu, Tourism Pahang menerusi Program Bantuan Prihatin Pahang COVID-19 Tahun 2021 turut menyampaikan bantuan wang tunai kepada 187 pemain industri pelancongan di pulau itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here