KUALA TERENGGANU, 7 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan berlaku kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata ia berdasarkan pemeriksaan KPDNHEP di 18 pasar basah, empat pasar raya besar (hypermarket) serta 24 pasar raya di seluruh Terengganu dan mendapati kenaikan harga ayam mencecah RM10 sekilogram.

“Data menunjukkan harga runcit ayam di pasar dijual antara RM8 hingga RM10, di hypermarket pula antara RM6.90 hingga RM8.49 manakala di pasar raya pula ia dijual antara RM6.90 hingga RM8.89,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP difahamkan kenaikan harga ayam berlaku adalah disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Rata-rata peniaga mendakwa punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan pengurangan bekalan ayam di peringkat ladang dan kenaikan harga makanan ayam yang menjadikan berlaku kenaikan kos di peringkat pembekal dan peladang.

“Namun begitu bagi mengesahkan dakwaan ini, pemeriksaan sedang dilaksanakan di peringkat rantaian pembekalan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos serta menyiasat di bawah perundangan pencatutan. Tindakan tegas akan diambil jika didapati ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi sekarang,” katanya. 

KPDNHEP Terengganu memberi jaminan bahawa bekalan ayam adalah mencukupi untuk kegunaan rakyat Terengganu dan tidak berlaku masalah kekurangan bekalan.

“Pihak KPDNHEP Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang.

“Laporan boleh dibuat di portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, e-aduan@kpdnhep.gov.m, menggunakan aplikasi telefon pintar EzADU, pusat arahan penguatkuasaan di talian, 03-8882 6245 / 6088, whatsapp di talian 019- 279 4317, Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP Terengganu,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan keluhan pengusaha restoran dan katering di Terengganu yang tertekan kerana terpaksa menyerap kenaikan mendadak harga ayam secara borong dalam tempoh sebulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here