KUALA LUMPUR, 8 Sept — Potensi perdagangan dan pelaburan dengan Bosnia & Herzegovina, sebuah negara Eropah di Balkan, semakin mendapat sambutan di Malaysia walaupun terdapat kekangan akibat pandemik COVID-19.

Duta Besar Malaysia baharu ke negara itu, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata usahawan Malaysia juga ternyata berminat untuk meneroka peluang di Bosnia & Herzegovina, terutama dalam bidang pengeluaran makanan.

Bosnia & Herzegovina merupakan pengeluar utama makanan halal dan terbabit dalam usaha eksport ke negara-negara Islam lain seperti Turki dan Negara-Negara Kerjasama Teluk (GCC), kata beliau.

Pelabur dan usahawan Malaysia juga sejak semakin menyedari bahawa langkah untuk membuka operasi di negara-negara berkaitan dan mengeksport semula makanan itu ke Malaysia merupakan alternatif berkesan untuk mengurangkan kos import.

Bosnia & Herzegovina dilihat sebagai antara negara sesuai berikutan kedudukannya yang kukuh dari segi status makanan halal.

“Malaysia juga berpotensi besar menjadi gerbang produk makanan halal dari Bosnia & Herzegovina serta rantau Balkan ke pasaran ASEAN berikutan permintaan terhadapnya yang semakin berkembang,” katanya kepada Bernama selepas mengangkat sumpah sebagai Duta Besar pada Selasa.

Malah, Raja Saifful Ridzuwan berkata kedutaan Malaysia di Sarajevo, ibu negara Bosnia & Herzegovina itu sedang dalam peringkat berurusan dengan jabatan dan agensi berkaitan di Malaysia mengenai usaha import produk makanan halal dari negara tersebut.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata, pihak kedutaan itu juga dalam proses meninjau sektor ekonomi lain yang boleh dimanfaatkan oleh ahli perniagaan Malaysia-Bosnia dengan meningkatkan usaha sama perniagaan.

Berikutan itu, lebih banyak rundingan bersama pegawai dan penggiat pasaran negara itu kini dirancang bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kami berharap pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 akan menyaksikan lebih ramai pelabur Malaysia dan ahli perniagaan melakukan perjalanan (ke negara itu) untuk memperkukuh dan membina hubungan baharu dengan rakan niaga mereka,” katanya.

Ditanya mengenai data perdagangan, beliau berkata jumlah dagangan antara Malaysia dan Bosnia secara relatifnya rendah dan tidak signifikan.

“Bagaimanapun, hubungan dua hala antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina adalah kukuh sejak dimulakan pada 1992 yang mana Malaysia menyokong negara itu semasa Perang Balkan dan memberi bantuan secara meluas pada peringkat awal kemerdekaannya.

“Seiring waktu yang berlalu, hubungan itu berkembang dengan Malaysia dan Bosnia meneroka kerjasama dalam bidang baharu untuk manfaat kedua-dua pihak,” katanya sambil menambah aspek tumpuan terutamanya bagi tempoh pasca-COVID-19 adalah perdagangan dan pelaburan.

Malah, Raja Saifful Ridzuwan berkata situasi sukar dihadapi Bosnia & Herzegovina semasa bermulanya konflik Balkan telah mengubah tumpuan dasar asing Malaysia terhadap sempadan baharu dan beralih daripada tumpuan tradisional mengenai ASEAN dan Asia, secara umumnya.

“Keputusan untuk menyokong dan membantu Bosnia dan Herzegovina turut mempercepatkan Malaysia ke tahap baharu tata urus negara yang mana hubungan dua hala tradisional, diplomasi pelbagai hala dan ketenteraan dimanfaatkan untuk menyokong Bosnia.

“Penempatan Batalion Malaysia (MALBATT) ke negara itu memaparkan kedudukan kukuh Malaysia dalam status negara itu kerana penghantaran tentera itu dilaksanakan semasa kemuncak konflik tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaaan politik dan ekonomi yang berkembang di rantau ini, global dan Malaysia memerlukan pendekatan dan hala tuju baharu dari segi hubungan Malaysia-Bosnia.

“Ini akan menjadi fokus saya sepanjang bertugas di negara itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here