GEORGE TOWN, 17 Sept 17 — Persatuan Kawasan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) berharap agar tempat tarikan pelancong di negeri ini dibuka segera demi kelangsungan industri pelancongan.

Presiden ATAP Ch’ng Huck Theng berkata meskipun bilangan kes COVID-19 di negara ini masih tinggi, industri tersebut perlu bersedia untuk pasca pemulihan COVID-19 bagi kelangsungan perniagaan.

Beliau berkata ATAP telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin untuk mempertimbangkan tempoh percubaan atau ‘test run’ bagi pembukaan semula tempat pelancongan luaran terpilih.

“Pada pendapat kami test run ini adalah satu langkah penting kepada pemain industri yang terkesan oleh impak besar akibat pandemik COVID-19, dengan penutupan perniagaan yang berlanjutan sejak tahun lepas, ekoran pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tempoh percubaan itu akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab, terhad pada bilangan hari dan kapasiti tertentu sahaja, serta pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di bawah penguatkuasaan polis dan pihak berkuasa negeri.

Ch’ng berkata persatuan itu juga telah berbincang dengan Ketua Polis Pulau Pinang dan pihak polis telah bersetuju dengan cadangan tersebut serta akan membantu menguatkuasakan pelaksanaan SOP di kawasan pelancongan terpilih semasa tempoh percubaan berkenaan. 

“Bagaimanapun ATAP telah mencuba meminta Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan tempat-tempat pelancongan dibuka lebih awal, namun tidak berhasil.

“Justeru, ini adalah cara terakhir kami iaitu dengan memohon kepada kerajaan Pulau Pinang untuk menghidupkan semula industri ini yang telah banyak menyumbang pada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here