GEORGE TOWN, 26 Sept  — Kerajaan Pulau Pinang perlu menjelaskan status terkini projek terowong dasar laut yang didakwa mungkin akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang Oh Tong Keong berharap Ketua Menteri Chow Kon Yeow boleh menjelaskan isu ini dan sejauh mana kebenaran tentang perancangan ini, khususnya setelah kerajaan negeri telah membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan untuk terowong berkenaan.

“Kira-kira 10 tahun sudah berlalu, mengapakah kerajaan negeri sehingga sekarang baru memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa pembinaan jambatan lebih sesuai daripada membina terowong dasar laut, dan kerajaan negeri telahpun membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan?

“Kos yang membabitkan nilai yang besar ini sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat rakyat Pulau Pinang. Oleh itu, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan tentang isu ini,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Oh turut meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berkenaan kos membina jambatan merentasi Selat Pulau Pinang yang difahamkan melibatkan RM3 bilion, iaitu hanya separuh berbanding kos RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut.

“Persoalan juga berhubung bagaimanakah kerajaan Pulau Pinang akan menuntut balik wang yang telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan bagi pihak rakyat Pulau Pinang?,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here