KUALA LUMPUR, 28 Sept — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggalakkan warga kerjanya menggunakan pengangkutan awam sebagai inisiatif mengurangkan kenderaan di ibu kota, sekali gus menyokong usaha ke arah bandar rendah karbon.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pendekatan itu akan menjadikan udara di bandar lebih bersih dan masyarakat berasa selesa serta selamat, selain membantu meningkatkan taraf kesihatan.

“Sebagai permulaan, kita memberi insentif kad perjalanan My30 bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad pada awal bulan ini.

“Kita juga sedang mengkaji untuk melarang warga kerja kita daripada membawa kenderaan ke pejabat pada setiap Jumaat sebagai inisiatif mengamalkan gaya hidup rendah karbon,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kuala Lumpur Sustainable Developement Goals (SDG) Centre, di sini hari ini.

Kuala Lumpur SDG Centre yang terletak di Jalan Raja, di sini, dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan turut dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mahadi berkata DBKL juga bercadang membangunkan ladang solar di beberapa tasik di ibu negara bagi menggantikan penggunaan tenaga fosil.

“Kita berharap segala usaha ini dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lestari kepada masyarakat dan alam sekitar bertepatan dengan matlamat SDG,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata SDG Centre merupakan sebuah pusat interaktif yang menghimpunkan semua inisiatif dan komitmen pelaksanaan 17 Matlamat Pembangunan Mampan oleh Kuala Lumpur.

Beliau berkata pusat itu berfungsi memberikan pendedahan umum dan meningkatkan keupayaan warga kota serta pihak berkepentingan mengenai SDG, sekali gus mencari penyelesaian secara insklusif dan efektif bagi perubahan kehidupan yang lebih baik serta berkualiti.

“Ia akan memperkasakan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dalam menjalin perkongsian dan kolaborasi di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here