KUALA LUMPUR, 29 Sept — Beberapa rancangan naik taraf akses internet di Sarawak telah diatur antaranya bagi meningkatkan kadar liputan rangkaian generasi keempat (4G) di negeri itu yang kini hanya berada pada tahap 80.84 peratus, lebih rendah berbanding tahap purata nasional iaitu 94 peratus.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Julau yang mempunyai liputan rangkaian 4G hanya pada tahap 27.34 peratus.

“Jadi terdapat kesenjangan yang besar antara Sarawak dan Julau apatah lagi di peringkat nasional,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (Bebas-Julau) yang mahu tahu perancangan kerajaan dalam memastikan akses internet dan telekomunikasi mampan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar, terutama di kawasan Parlimen Julau.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata antara perancangan kerajaan untuk kawasan Julau termasuk membina 47 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 38 stesen pemancar dengan tiga daripadanya telah pun siap dan bakinya masih dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here