KUALA LUMPUR, 1 Okt– Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah memanggil semula seorang pendakwah bebas terkenal semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata turut dipanggil ialah isteri pendakwah itu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pendakwah itu telah hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan kes tersebut dan beliau disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada 19 Ogos lepas.

Pada 22 Sept lepas, tular video dan mesej lucah di aplikasi Telegram yang didakwa mempunyai kaitan dengan pendakwah itu.

Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here