GEORGE TOWN, 2 Okt — Pulau Pinang pada Jumaat menyambut ulang tahun ke-72 penubuhan Republik Rakyat China secara dalam talian.

Berikutan pandemik COVID-19, majlis resepsi yang dihoskan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang itu diadakan melalui Zoom.

Konsul Jeneral Lu Shiwei berkata walaupun wabak COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia, China bekerjasama erat membantu negara-negara lain termasuk Malaysia untuk  mengharungi kesukaran.

Beliau berkata Malaysia dan China saling memberi sumbangan barangan antiwabak dan kerjasama erat dalam bidang seperti vaksin. 

“Kami aktif meneroka bentuk dan kaedah baharu untuk mempromosi kerjasama antara Provinsi Heilongjiang dan Pulau Pinang, bandar Guangzhou dan Pulau Pulau Pinang, bandar Chengdu dan daerah konsular sehingga dapat buat pencapaian baharu dalam pertukaran dan kerjasama peringkat tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang turut menyertai resepsi itu secara dalam talian, memuji usaha kerajaan China menjalankan program vaksinasi dan kaedah lain yang berkesan dalam mengawal pandemik. 

Beliau berharap hubungan erat kedua-dua negara akan berterusan memandangkan tahun ini ulang tahun ke-47 terjalinnya hubungan diplomatik China dan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here