IPOH, 6 Okt — Pusat bandaraya Ipoh bersiap siaga menerima kehadiran pengunjung luar yang telah lengkap vaksinasi dengan menawarkan pelbagai tempat menarik susulan pelaksanaan rentas negeri tidak lama lagi.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya telah membaik pulih dan menaik taraf pelbagai aset infrastruktur yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini selain merancang menyiapkan aset pelancongan di beberapa kawasan utama untuk dimanfaatkan pelancong.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini membolehkan kami merancang dan menyiapkan aset pelancongan di beberapa kawasan antaranya Light and Sound, Riverwalk, People Spark (Persisiran Kinta Riverfront), Taman Jepun di Taman Rekreasi D.R. Seenivasagam dan Gunung Matsurat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan empat syarikat pemaju iaitu Syarikat Ain Bina Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd untuk pembinaan jalan utama Meru Raya-Klebang hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW, 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa, telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam.

Terdahulu, Rumaizi berkata MoU tersebut antara lain membolehkan sambungan jajaran Lebuh Chepor Utama 2 ke Lebuh Klebang Putra dilaksanakan dan projek bernilai RM6.4 juta itu dijangka siap dalam masa lima tahun akan datang. 

Menurutnya, MBI juga menjangkakan dalam tempoh yang sama, dianggarkan sebanyak 1,617 rumah dan lot-lot kedai akan dibangunkan oleh pihak pemaju di kawasan ini dan MBI serta pihak Kerajaan Negeri Perak akan menerima anggaran hasil cukai daripada pembangunan itu sebanyak RM323,000 setahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here