SHAH ALAM, 7 Okt — Kerajaan Selangor menyediakan 150,000 dos vaksin COVID-19 keluaran Sinovac untuk dimanfaatkan oleh 75,000 pelajar dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja yang akan dijalankan dalam masa terdekat. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata program tersebut dijalankan menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Program SelVAX Remaja yang diperluas daripada SelVAX Komuniti itu menyasarkan pelajar di sekolah sekolah agama di bawah JAIS, Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRI) bagi murid darjah 6 dan Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil

“Dengan 150,000 dos ini bermakna kerajaan negeri melengkapkan sasaran untuk SelVAX Komuniti secara percuma kepada rakyat Selangor dengan anggaran sekitar 500,000 dos keseluruhannya,” katanya pada sidang media mingguannya hari ini.

Amirudin berkata perkara berkenaan telah dimajukan kepada kerajaan pusat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Vaksinasi Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Selasa lepas.

“Ia telah diluluskan dan pelaksanaan SelVAX Remaja ini akan mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan remaja sekali gus menyediakan komuniti lebih berdaya tahan berdepan COVID-19,” katanya.

Amirudin berkata kerajaan Selangor juga akan mengeluarkan jadual pemberian vaksin bagi program itu dalam tempoh seminggu secara berperingkat. 

“Sudah tentu sekolah di bawah JAIS akan diberi keutamaan dan mungkin juga kita boleh buka kepada sekolah rendah yang lain,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan melaksanakan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam negeri yang secara sengaja tidak mahu menerima vaksin COVID-19

“Semalam kita telah diberikan nasihat serta taklimat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan yakin kita boleh melaksanakan tindakan tatatertib kepada penjawat awam negeri yang secara sengaja tidak mahu menerima vaksin.

“Bentuk tindakan itu akan diputuskan pihak Jawatankuasa Tatatertib dan dijangka minggu depan mendapat kelulusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here