ALOR SETAR, 10 Okt — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri itu menyertai program pensijilan melalui Travel Safe Alliance (TSA) Malaysia yang diperakui oleh Bureau Veritas Certification Malaysia secara keseluruhan untuk meningkatkan lagi keyakinan pelancong dan memastikan mereka menikmati pengalaman hospitaliti rakyat Malaysia dengan selamat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata melalui TSA Malaysia, industri akan diberi penyelesaian yang selamat di bawah label ‘Travel Safe’ bagi atur cara perjalanan dan pelancongan, ‘Clean and Safe Malaysia’ bagi hotel dan ‘SafeBE’ bagi acara perniagaan serta venue konvensyen.

“MOTAC amat mengiktiraf dan menyokong ketiga-tiga program pensijilan ini. Kita memerlukan strategi luar biasa seperti itu untuk menghidupkan semula bukan hanya pelancongan dan acara perniagaan malah sosioekonomi negara.

“Lebih banyak kerjasama yang penting antara sektor awam dan swasta adalah kunci untuk mempercepat pemulihan industri dan ekonomi kita,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerangka kerjasama bagi TSA Malaysia di Langkawi secara maya hari ini.

MoU antara empat penggiat industri pelancongan di Malaysia, acara perniagaan dan industri penerbangan iaitu Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta syarikat penerbangan di bawah (MAG).

Melalui langkah menandatangani MoU itu hari ini, keempat-empat pemain industri telah berikrar untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang selamat untuk pelancong bagi tujuan bersantai dan perniagaan.

MoU itu memfokus kepada usaha bersama yang akan diterajui oleh ketiga-tiga persatuan dalam industri pelancongan dan syarikat penerbangan nasional untuk mewujudkan TSA Malaysia.

Nancy turut memuji usaha bersama yang dilakukan oleh MATTA, MAH, MACEOS dan MAG dalam mewujudkan TSA Malaysia, yang menyediakan penyelesaian perjalanan yang selamat menyeluruh kepada pelancong serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan utama di pasaran global.

“Ini sememangnya adalah satu pencapaian yang luar biasa. Saya yakin pensijilan ini akan membantu 900 ahli MAH, 2001 ahli yang aktif dalam MATTA, 180 ahli MACEOS dan tentunya Malaysia Airlines bagi merintis jalan ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi selamat yang utama sebaik sahaja kita membukanya,” katanya.

Beliau berkata MOU ini menandakan komitmen kukuh yang amat diperlukan daripada pemain industri dan yakin bahawa kesemua program pensijilan ini akan mengembalikan keyakinan pelancong untuk datang ke Malaysia.

Katanya kerajaan bersedia membuka semula lebih banyak destinasi untuk memulih dan menghidupkan semula industri pelancongan apabila Malaysia mencapai 90 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin selain kejayaan gelembung pelancongan Langkawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here