MELAKA, 22 Okt  — Beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan kes kematian anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Abu Bakar Katain.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat saksi yang akan membantu siasatan dan hasil siasatan insiden itu dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Beliau ditemui ketika mengiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad yang menziarahi keluarga Mohd Diya di Krubong di sini.

Pada Rabu lepas, Mohd Diya, 46, rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, ketika terlibat dalam operasi menyelamat di Kampung Sungai Putat di sini.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi semalam ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Sementara itu Syed Fazmi berkata insiden yang menimpa anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh telah menyentuh hati Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya diamanahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menziarah keluarga Allahyarham dan kebetulan saya memang berada di Melaka.

“Jadi saya telah menyampaikan salam takziah Perdana Menteri kepada isteri dan anak-anak Allahyarham. Perdana Menteri berasa sangat dukacita atas kehilangan itu,” katanya.

Allahyarham meninggalkan balu Noraida Che Noh, 39, dan empat anak iaitu Muhammad Daniel Hakime, 18, Nurul Ain Balqis, 16, Muhammad Danish Hakim, 12, dan Nurul Annisa Ilya, 9.

Syed Fazmi yang turut menyampaikan sumbangan peribadi Perdana Menteri kepada keluarga berkenaan berkata beliau turut dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah menguruskan soal kebajikan keluarga berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here