KUCHING, 23 Okt  — Pelancaran “Keluarga Malaysia” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini menampilkan persembahan penuh warna-warni dengan tema kesenian serta kebudayaan negeri Sarawak.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini itu dimulai dengan persembahan Muzik Tenunan Tanoti diikuti Muzikal Tari Sape Kue serta persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum di Sarawak.

Selain itu, hadirin turut dipersembahkan dengan aneka lagu patriotik dan nyanyian Lagu Keluarga Malaysia oleh artis jemputan seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Vince Chong.

Program yang dihadiri seramai 300 orang tetamu secara fizikal dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu turut disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen utama negara.

Pameran Keluarga Malaysia juga diadakan di BCCK yang memaparkan produk dan inisiatif Skuad Keluarga Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Negeri Sarawak dipilih sebagai lokasi majlis pelancaran selari dengan status Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan dan simbolik kepada ilham Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas.

Keluarga Malaysia menuntut muafakat dan semangat solidariti semua pihak untuk sama-sama berganding bahu menangani situasi mencabar yang dihadapi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here