KUALA LUMPUR, 28 Okt — Prestasi dagangan Malaysia bagi September 2021 meningkat sebanyak 25.5 peratus kepada RM195.5 bilion berikutan pertumbuhan dua angka eksport dan import yang kukuh, kata Jabatan Perangkaan.

Malah, eksport meningkat ke paras tertinggi kepada RM110.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala import menokok 26.5 peratus kepada RM84.7 bilion tahun ke tahun, kata jabatan itu menerusi Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia September 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan eksport tersebut telah disokong oleh eksport domestik dan eksport semula.

“Ini merupakan peningkatan bagi 13 bulan berturut-turut sejak September 2020. Eksport domestik berjumlah RM87.7 bilion dan menyumbang sebanyak 79.1 peratus kepada jumlah eksport iaitu peningkatan sebanyak 22.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, eksport semula mencatat nilai RM23.2 bilion iaitu kenaikan sebanyak 34.1 peratus tahun ke tahun.

“Lebihan dagangan berkembang sebanyak 19.1 peratus kepada RM26.1 bilion. Seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik susulan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh iaitu masing-masing 16.0 peratus, 14.2 peratus, 15.2 peratus dan 22.2 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, selaras dengan pertumbuhan tahunan itu, sebanyak 168 daripada 254 kumpulan barangan untuk eksport telah menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Menurutnya, import menyaksikan sejumlah 147 daripada 260 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4.0 bilion) dan diikuti China (+RM3.0 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.0 bilion), Indonesia (+RM1.7 bilion), India (+RM1.4 bilion), Hong Kong (+RM1.1 bilion) dan Jepun (+RM879.4 juta).

China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import (+RM4.6 bilion) dan diikuti oleh Singapura (+RM2.1 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.9 bilion), Indonesia (+RM1.6 bilion), Taiwan (+RM1.5 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Republik Korea (+RM930.7 juta), 

“Peningkatan eksport tersebut didorong oleh keluaran petroleum (+RM5.6 bilion); barangan perkilangan logam (+RM3.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM2.8 bilion); barangan elektrik dan elektronik (+RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM1.7 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.2 bilion); barangan besi dan keluli (+RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (+RM1.1 bilion).

Selain itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran petroleum (+RM4.0 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.1 bilion) serta petroleum mentah (+RM755.1 juta).

Menurutnya, bagi tempoh sama, pertumbuhan import bagi Penggunaan Akhir disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

“Import barangan perantaraan (51.0 peratus daripada jumlah import) berjumlah RM43.2 bilion iaitu meningkat sebanyak RM9.9 bilion atau 29.7 peratus

“Barangan modal (10.8 peratus daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan sebanyak 20.3 peratus daripada RM7.6 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.2 bilion.

“Import barangan penggunaan yang berjumlah RM6.9 bilion pula meningkat 3.7 peratus berbanding September 2020 dan merangkumi 8.1 peratus daripada jumlah import,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here