ALOR GAJAH, 29 Okt– UMNO Melaka yakin permuakatan antara parti itu dengan PAS di bawah payung Muafakat Nasional (MN) mampu memberi faedah kepada kedua-dua parti.

Mengalu-alukan keputusan yang diambil Majlis Tertinggi UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia juga antara perkara yang amat dinantikan akar umbi.

“Saya melihat akar umbi bermula malam tadi hingga hari ini amat gembira (kerana) telah lama mereka menanti satu kenyataan yang boleh memberikan harapan kepada semua penyokong, supaya muafakat ini diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 Nov ini.

“Bagaimanapun, terserah kepada PAS untuk melihat tawaran yang dibuat ini supaya dapat memberi kebaikan bersama,”’ katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

UMNO semalam memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata pendirian itu selaras ketetapan Perhimpuan Agung parti itu tahun lepas, iaitu antara lain untuk memperkukuhkan MN yang dibentuk antara dua parti berkenaan.

Mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai calon muka baharu pada PRN berkenaan, Ab Rauf berkata ia terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. 

Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama berkata parti itu mengalu-alukan keputusan yang dibuat UMNO dan menunggu maklum balas daripada pimpinan pusat terhadap perkembangan terbaharu itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here